FOLLOWERS

Thursday, October 1, 2015

02 Oktober 2001, 12.10 PM Genap 15 Tahun

Bismillahirrahmanirrahim, Assalammualaikum w.b.t.





Bye September, Hello October. 

Terlalu banyak kenangan  dalam bulan ini yang tidak dapat dilupakan. Sama ada kenangan manis mahupun kenangan pahit. Hari ini, 02 Oktober 2015, genap 15 tahun ayah telah pergi meninggalkan kami sekeluarga bukan untuk sementara tapi untuk selama-lamanya. Tarikh ini tidak pernah aku lupa. Tidak akan sekali-kali. 

02 Oktober 2001, 12.10 PM. Siapa sangka orang yang begitu aku sayangi, aku hormati pergi meninggalkan aku untuk selama-lamanya. Masih segar dalam ingatan, waktu itu ayah hendak pergi kerja. Sebelum berangkat, sempat ayah bertanyakan permintaan kami sekeluarga kerana pada waktu itu, raya semakin dekat. Masihku ingat, macam-macam permintaanku kepada ayah, hendak kasut roda, hendak basikal, hendak itu dan ini.  Aku menanti-nanti kepulangan ayahku dari kerja, kerana tidak sabar untuk mendapat apa yang aku inginkan. Tapi malangnya permintaan itu tidak tertunai. Kami mendapat berita yang ayah telah meninggal dunia. 

Ayah pergi meninggalkan kami sewaktu aku berusia 7 tahun (tahun satu) dan waktu itu aku langsung tidak tahu apa-apa. Kenangan bersama ayah hanyalah sekejap sahaja. Iya sekejap. Aku tahu kenangan aku bersama ayah aku kurang. Tapi kasih sayang yang ayah berikan kepada aku sewaktu aku kecil dahulu tidak pernah kurang. Ayah tidak pernah memukul kami. Tidak pernah sama sekali. Walaupun kadang-kadang kami nakal, tapi ayah tetap sabar melayani kerenah kami. 


                            

Masihku ingat, setiap kali ayah gaji, aku akan mengikuti ayah pergi ke kedai pada waktu malam semata-mata hendak makan Apollo kegemaranku dan setiap kali ayah pulang kerja, aku akan mengurut kaki ayah. Ayah juga seorang yang penyayang kucing. Setiap kali ke kedai, ayah tidak pernah lupa untuk membelikan makanan kucing. Mungkin sebab itu jugalah aku sayang dengan kucing. Sebab ayah telah didik dan besarkan aku dengan sifat penyayang. Dan kenangan yang paling aku ingat ialah, ayah mengajar kami untuk bermain basikal di dalam rumah. Kami mula bermain basikal bukanlah bermula dengan basikal empat roda tetapi dua roda. Walaupun pedal basikal itu tercabut *kasar sangat* hahaha dan seringkali aku terjatuh, luka sana sini sepanjang proses belajar main basikal tu, tapi aku bersyukur kerana itu jugalah aku pandai bermain basikal. Terima kasih ayah.             

Pernah suatu ketika dahulu, aku rasa yang ayah masih hidup. aku rasa kehilangan ayah itu seolah-olah mimpi atau lakonan semata-mata. Dahulunya, aku berfikir bahawa ayah bukanlah pergi untuk selama-lamanya. Dahulunya aku beranggapan bahawa ayah pasti akan kembali ke pangkuan keluarga. Tapi itu cuma sinetron. Iya. Sinetron sahaja.  Sehinggalah pada suatu hari aku sedar bahawa itu bukanlah lakonan semata-mata. Hakikatnya, ayah telah pergi meninggalkan kami untuk selama-lamanya. Sejak itulah aku mula sedar yang ayah tidak akan kembali sampai bila-bila. 

Walaupun kenangan bersama ayah itu kurang, walaupun ayah telah pergi dahulu meninggalkan kami, hidup perlu diteruskan. Aku masih ada ibu. Aku masih ada kakak dan adik. Merekalah yang menjadi pendorong kepada aku. Merekalah semangat aku untuk berjaya dan aku sayang mereka.

Semoga Allah mencucuri roh Ayah dan Semoga Ayah ditempatkan dalam kalangan orang beriman. InshaAllah. Amin. 

Ibu, kakak, adik-adikku dan kepada diri aku sendiri "keep strong". 

Sekian, Wassalam~

No comments: